KUALA LUMPUR 20 Jun – Malaysia perlu terus bersikap proaktif sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Islam, Majlis Syura Patani (Mara Patani) melibatkan wilayah selatan Thailand.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, peranan penting yang dimainkan negara dalam rundingan tersebut wajar diteruskan bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan sosio politik bukan sahaja di wilayah berkenaan tetapi juga melibatkan rantau ASEAN.
Jelas beliau, peranan yang telah dijalankan selama ini tidak wajar dihentikan walaupun berlaku perubahan dalam kepemimpinan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah, menurut Nasrudin, jika disorot peranan yang telah dilakukan Malaysia, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah bertindak sebagai fasilitator mengetuai rundingan damai di Langkawi pada tahun 2006.
“Satu pelan damai juga telah dirangka dan beberapa mesyuarat susulan dijalankan selepas itu. Usaha ini juga tetap diteruskan di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Komitmen ini juga merupakan satu simbolik pro-keamanan dan kecaknaan negara terhadap nasib umat Islam sedunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











