Tentera mati tertembak diri sendiri - Utusan Malaysia

Tentera mati tertembak diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jun – Seorang tentera berpangkat Sarjan ditemukan mati dipercayai tertembak diri sendiri di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar, Hulu Selangor di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, si mati, Sarjan Kenaday Bakasut, 38 yang keluar dari rumahnya di kuarters Kem Tentera Paya Jaras untuk berburu pada Khamis lalu ditemukan oleh seorang saksi dalam keadaan terbaring di atas motosikal yang terbalik.

“Isteri si mati telah meminta bantuan saksi untuk mencari suaminya selepas tidak pulang ke rumah. Hasil siasatan forensik mengesahkan si mati tertembak diri sendiri dan mengalami kecederaan tembakan di bawah dagu sebelah kiri menembusi di sebelah atas kepala kanan.

“Punca kejadian dipercayai si mati tertekan picu senapang atau pun terhentak senapang yang menyebabkan satu tembakan terlepas dan mengenai dagunya. Si mati dipercayai meninggal dunia melebihi 24 jam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bak Phai memberitahu, pihak forensik juga menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan sebutir kelongsong peluru jenis Bore 12 dalam senapang tersebut.

Tambahnya, dompet dan dokumen si mati berada dalam keadaan baik dan kes tersebut tiada unsur jenayah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN