KUALA LUMPUR 8 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat penelitian terperinci dan telus sebelum membatalkan projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.
![]() |
|
NAJIB RAZAK
|
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan terhadap kenyataan mengenai hutang negara yang tidak tepat.
Menurutnya, kerajaan PH juga perlu mengambil kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta manfaat kepada rakyat yang akan disumbang daripada projek tersebut.
“Saya menggesa kerajaan, jika mahu membuat pembatalan projek bermanfaat kepada rakyat, ia perlu dilakukan melalui cara yang telus dan penelitian terperinci dengan mendapatkan pendapat rakyat.
“Sekali lagi, saya menggesa kerajaan PH mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi kesemua projek manfaat rakyat itu untuk diakses orang ramai,” katanya dalam Facebook di sini hari ini.
Tambah Najib, satu lagi projek yang mahu dibatalkan Perdana Menteri dua hari lalu ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sangat diperlukan bagi pembangunan jajaran Pantai Timur Malaysia.
Katanya, biarpun fasa satu projek itu bagi Gombak hingga Kota Bharu sudah melepasi status 20 peratus siap dan pembatalannya akan menyebabkan kos RM22 bilion, kerajaan PH tetap mahu membatalkannya atau menangguhkan projek itu.
“Tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah negeri bukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuh raya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembetungan?,” soalnya.
Menurutnya, ketika menjadi Perdana Menteri, beliau memastikan kesemua negeri tidak kira di bawah pembangkang sekalipun, menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.
Sebab itu, kata Najib, Kerajaan Persekutuan ketika pentadbirannya menyalurkan berpuluh bilion ringgit bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
“Berikutan Kelantan agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain, saya juga memastikan Kelantan menerima lebih banyak dana pembangunan bagi manfaat rakyat dan projek menaiktaraf lebuh raya, bekalan air dan infrastruktur pembetungan. Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah (CSR) yang tidak dikenakan tol yang mana sebahagian besarnya sudah dibuka kepada pengguna adalah salah satu contoh,” katanya.












