PUTRAJAYA – Penggunaan surat sokongan bagi urusan Kementerian Pendidikan hanya akan dipertimbangkan sekiranya ia melibatkan kes terdesak dan tulen serta tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan.
Menteri berkenaan, Dr. Maszlee Malik berkata mesyuarat Kabinet semalam memutuskan bahawa menteri dan timbalan menteri tidak boleh memberi surat sokongan kepada mana-mana tender dan cadangan, bagi memastikan tadbir urus yang baik bagi kerajaan.
Namun, katanya, penggunaan surat sokongan itu boleh dikaji bagi urusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia tidak melibatkan wang selain jika ia isu terdesak seperti kesihatan.
“Sebagai contoh, surat sokongan cuti sebab sakit atau minta dipindahkan atas sebab kesihatan, ia tidak digalakkan tetapi akan dikaji jika kesnya tulen,” katanya pada sidang media di kementerian itu di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melayani sebarang surat sokongan untuk anak atau anak saudara. – Bernama










