SAUDARA PENGARANG,
SAYA bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang baru-baru ini menyatakan dasar melindungi Melayu dan Islam semakin dipertikai secara terbuka.
Bukannya saya mahu katakan hanya UMNO boleh pertahankan Melayu dan Islam tetapi setakat hampir dua bulan bawah kerajaan Pusat yang baharu, siapakah dalam Pakatan Harapan atau Kabinet sendiri yang melakukannya?
Setiap hari hanya berita hutang RM1 trilion dan skandal 1MDB sahaja, perihal Melayu Islam hanya sudut negatif khususnya menggunakan perkataan kaji semula, rombak, bubar, batal, ditarik balik dan seumpamanya.
Sehinggakan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu juga seolah-olah ‘dibuli’ agar mengikut telunjuk mereka.
Apalah agaknya nasib Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Felda, Dewan Bahasa dan Pustaka serta lain-lain tiang seri orang Melayu dan umat Islam selepas ini.
Ditambah pula sikap pak menteri ‘orang Malaysia’ yang hanya mahu memartabatkan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sehingga berani mengabaikan bahasa kebangsaan yang juga bahasa urusan rasmi negara.
Jika sekadar terjemahan untuk pelbagai bangsa, di mana terjemahan kenyataan beliau dalam bahasa Tamil? Sikap sebegini hanya akan merenggangkan rakyat dengan membentuk komuniti ‘bawah tempurung’ yang hanya mahu bergaul dan bertutur dalam bahasa sendiri.
ABDUL RASHID RAHIM
Simpang Pulai, Perak











