KUALA LUMPUR – Susulan serbuan polis ke atas rumah di Precint 10, Putrajaya yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, seorang bekas kakitangan bekas Perdana Menteri itu mengesahkan beliau sebelum ini tinggal di sana.
Namun, beliau menafikan sebarang hubungan dengan serbuan itu.
Bekas Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh berkata, beliau tinggal di rumah tersebut selama tujuh tahun bermula tahun 2009 hingga bersara dua tahun lalu.
“Saya tinggal di sana sampai tidak lagi menjadi kakitangan awam dan mengikut prosedur, saya menyerahkan semula kunci rumah itu dan tidak ada kena mengena lagi dengan rumah itu,” katanya kepada Malay Mail seperti yang dipetik Malaysiakini semalam.
Kelmarin, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya merampas barangan berjenama mewah yang dikaitkan dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB dari rumah itu.











