Sepanyol rakam kemenangan pertama - Utusan Malaysia

Sepanyol rakam kemenangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN – Ketua jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro tetap meraikan kemenangan pertamanya de­ngan penuh gembira biarpun me­nerima kritikan selepas sekadar menang tipis 1-0 ketika bertemu Iran pada saingan kedua Kumpulan B Piala Dunia 2018 awal pagi semalam.

Menurut Hierro yang dilantik secara mengejut selepas pemecatan Julen Lopetegui minggu lalu, beliau tidak kisah untuk dikritik kerana segala yang berlaku selepas ini adalah tanggungjawabnya.

“Saya adalah ketua di sini dan saya dilantik secara rasmi sebagai jurulatih Sepanyol. Semua orang harus terima taktikal dan keputusan yang telah saya lakukan. Walaupun menang tipis, kami tetap meraih tiga mata penuh,” ujarnya.

Pada masa yang sama, pe­ngendali berusia 50 tahun itu memuji impak penyerang, Diego Costa yang telah menjaringkan gol tunggal perlawanan iaitu gol ketiga miliknya dalam dua perlawanan.

“Costa merupakan pemain yang memberi komitmen penuh di atas padang. Dia begitu cemerlang kerana telah mele­dakkan tiga gol dalam dua aksi. Saya yakin Costa boleh beraksi dengan lebih baik,” jelasnya.

Sebagai rekod, skuad yang diberi jolokan La Furia Roja itu berkongsi empat mata bersama Portugal yang mana kedua-dua pasukan itu berpeluang cerah untuk ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Dalam pada itu, Hierro turut memuji kreativiti pasukan Iran sejak berada di bawah kendalian Carlos Queiroz bermula pada 2011.

“Taktikal yang digunakan Iran menyusahkan kami. Mereka sangat sukar untuk ditembusi sehingga kami hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja.

“Saya perlu akui bahawa perlawanan semalam sangat sukar dan kami bernasib baik kerana berjaya meledakkan satu gol,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN