PENAMPANG – Seorang wanita hamil empat bulan antara sembilan individu dipercayai ‘bookie’ perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 Rusia ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Putatan dan Penampang di sini bermula Isnin hingga semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, selain wanita berusia 20 tahun terbabit tangkapan menerusi Ops Soga tersebut turut melibatkan lapan lelaki termasuk seorang warganegara asing yang berusia antara 22 hingga 37 tahun.
“Berpandukan maklumat dan risikan kami berjaya membongkar dua kegiatan bookie di Pekan Donggongon dan Kampung Noosob, Taman Prima Sumundu serta Kampung Muhibah, Putatan yang mana masing-masing satu kes.
“Dalam Ops Soga ini, pihak polis turut merampas beberapa peralatan dan wang tunai sejumlah RM98,653,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini hari ini.
Tambah Omar, antara barangan yang dirampas ialah 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah mesin kira-kira, 26 buah buku kecil catitan angka, 20 keping senarai ramalan keputusan bookie perlawanan Piala Dunia Bola Sepak 2018 Rusia dan 64 keping kertas pertaruhan.
Kesemua suspek lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan manakala suspek wanita pula dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengandung.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953. – K! ONLINE










