PUTRAJAYA 7 Jun – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyalurkan wang royalti minyak secara terus kepada kerajaan-kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang mentadbir negeri berkenaan.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang berlangsung di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Ujar beliau, jumlah peratusan royalti dan butiran lanjut mengenai perkara berkenaan bagaimanapun masih belum diperincikan.
“Sebelum ini (semasa kerajaan dahulu) wang berkenaan diberi kepada agensi pusat di negeri dalam jabatan pembangunan persekutuan, contohnya.
“Tetapi (kali ini) akan diberi terus kepada kerajaan negeri, tidak kira daripada parti mana negeri itu ditadbir, tidak semestinya parti yang sama dengan kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Dr. Mahathir itu di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri dan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri.
Buat ketika ini, negeri-negeri pengeluar hasil minyak Sabah dan Sarawak menerima royalti minyak lima peratus, namun Terengganu dan Kelantan hanya menerima wang ehsan.
Antara kandungan Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.
Menurut Ahmad Samsuri, bagi negeri-negeri yang sebelum ini hanya menerima wang ehsan, kadar royalti sepatutnya dibayar sekurang-kurangnya lima peratus.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai jumlah kadar asal royalti yang diminta oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penyaluran peruntukan RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang berbanding RM500,000 kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya tetap menghargai pemberian berkenaan.
“Saya ucapkan terima kasih walaupun jumlahnya tidak sama tetapi pemberian tetap pemberian,” katanya yang juga memberitahu kerajaan negeri perlu menilai dahulu kedudukan kewangan sebelum membuat keputusan mengenai peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.











