PETALING JAYA 25 Jun – Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM5,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka dengan menggunakan rotan, tiga bulan lalu.
Pemandu lori, Mohammad Safarull Akmar Jamaludin, 33, dan isterinya, Suraya Hanim Hanis Abdullah, 27, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Flora Damansara, Jalan PJU 8/8A, Bandar Damansara Perdana dekat sini kira-kira pukul 5.30 petang, 7 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Safarull Akmar yang merupakan bapa tiri kanak-kanak tersebut dan isterinya didakwa dengan mencapai niat bersama melakukan perbuatan tersebut dengan menggunakan rotan terhadap mangsa yang berusia 10 tahun ketika kejadian.
Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50, 000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, seorang penganjur kem peningktan sahsiah diri telah mendapati salah seorang peserta mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan, kaki dan mempunyai kecederaan lama dan beliau terus membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE











