Ronaldo aset berharga Portugal - Utusan Malaysia

Ronaldo aset berharga Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Pemain pertahanan Portugal, Pepe mengakui bahawa Cristiano Ronaldo merupakan ‘aset’ paling berharga untuk negaranya itu sambil menyifatkan aksi sempurna dipamerkan pada saingan Piala Dunia kali ini sebagai bukan suatu yang mengejutkan.

Ronaldo mencuri tumpuan di Rusia selepas meledak hatrik pada aksi pertama ketika seri 3-3 menentang Sepanyol pada aksi Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Pepe me­ngakui sepakan percuma pada minit ke-88, sekali gus meraih gol penyamaan ketika aksi pertama itu sangat mengejutkannya.

“Pada saya ia bukan suatu yang baharu. Kami melalui satu perlawanan yang menakjubkan dan apa yang paling penting Ronaldo adalah seorang yang merendah diri sama ada di dalam atau di luar padang.

“Kami sangat gembira dengan prestasinya dan para pemain lain. Kami bekerja keras untuk mendapatkan setiap jaringan kerana ia merupakan suatu penghormatan setiap kali kami menyarung jersi ini.

“Dia sangat gembira menjalani latihan dan menyertai perlawanan bersama pasukan ini. Tahap keyakinannya meningkat setiap masa.

“Kami sangat bertuah kerana memiliki pemain sepertinya,” katanya.

Portugal kini mendahului Kumpulan B dengan mengutip empat mata biarpun Sepanyol turut mempunyai mata yang sama selepas meraih kemena­ngan 1-0 menewaskan Iran pada aksi awal pagi semalam.

Ronaldo kini mengumpul tujuh gol di pentas Piala Dunia, ketinggalan sembilan gol di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman, Miroslav Klose dari Jerman yang meledak 16 gol.

“Saya sangat gembira. Apa yang paling penting, kami mendapatkan kemenangan dan meraih tiga mata. Kami sedar bahawa jika kami kalah, kami mungkin akan tersingkir dan kami juga tahu bahawa Maghribi tidak akan memberikan laluan mudah.

“Sangat mengejutkan apabila mereka mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang perlawanan itu tetapi saya gembira kerana berjaya menjaringkan gol dan memberikan kemena­ngan kepada pasukan,” jelas Ronaldo. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN