KUALA LUMPUR 22 Jun – Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ketika dolar susut daripada kenaikan tertinggi dalam tempoh 11 bulan, susulan pengambilan untung selepas meningkat baru-baru ini, kata peniaga.
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0010/0040 berbanding dolar AS berbanding 4.0140/0170 pada penutup Khamis.
Seorang peniaga berkata, ringgit tinggi sedikit kira-kira 0.31 peratus, sejajar dengan indeks dolar yang sedikit melemah sebanyak 0.26 peratus.
“Pergerakan ringgit juga adalah sejajar dengan sedikit peningkatan di Bursa Malaysia yang ditutup tinggi, berlawanan dengan aliran serantau berikutan berita tempatan yang positif,” katanya.
Komen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana beliau melihat nilai saksama ringgit pada 3.80 berbanding dolar AS membantu meningkatkan mata wang tempatan, katanya.
Beliau juga berkata, pengumuman berhubung pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 1 Julai, 2018, turut dilihat sebagai positif kerana beliau adalah calon yang layak disebabkan pengetahuan dan pengalamannya di BNM.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang kecuali yen Jepun.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9484/9511 daripada 2.9461/9493 pada penutup Khamis dan susut berbanding pound British kepada 5.3189/3245 daripada 5.2620/2675.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6644/6683 daripada 4.6233/6276 pada Khamis, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6323/6360 daripada 3.6355/6386 semalam.-BERNAMA











