JOHOR BAHRU 7 Jun – Antara salah satu juadah yang menjadi kegemaran umat Islam semasa bulan Ramadan ialah daging dendeng, iaitu daging lembu yang diperap dengan rempah istimewa, kemudian dimesin hingga nipis dan dipanggang.
Memandangkan daging dendeng merupakan makanan warisan, maka seorang anak muda, Maisarah Mohd. Mustaza, 26, nekad untuk mengusahakannya di beberapa kawasan di bandar raya ini.
Dengan jenama ‘Dendeng Station’, Maisarah yang menetap di Taman Perling, di sini memberitahu, daging dendeng yang dihasilkan merupakan resipi warisan keluarga.
“Daging dendeng yang dihasilkan ini tanpa campuran bahan pewarna dan pengawet,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Larkin, di sini semalam.
Maisarah memberitahu, perniagaan tersebut dimulakan sejak 2009 dan kini mereka mampu menjual antara 15 hingga 20 kilogram produk tersebut setiap hari.
“Pada hujung minggu, jumlah jualan boleh meningkat menjadi 25 kilogram sehari dan saya yakin menjelang Aidilfitri mampu mencecah 40 kilogram.
“Ini kerana produk kami diolah mengikut cita rasa masa kini dan hasilnya amat digemari bukan sahaja dalam kalangan dewasa, malah kanak-kanak kerana rasanya menepati selera semua golongan,” katanya sambil memberitahu juadah itu turut boleh didapati di Pasar Tani Jalan Padu melalui Jalan Halimah dan Medan Selera Gelang Patah.
Menurutnya, daging dendeng itu dijual pada harga RM20 bagi 140 gram dan untuk tempahan boleh menghubunginya menerusi talian 017-7801890.











