GUA MUSANG – Rakyat harus mengenang segala jasa parti keramat UMNO yang dicurahkan selama 60 tahun walaupun parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, parti UMNO dapat berjalan dengan baik kerana berasaskan persefahaman dan kerjasama antara ahlinya.
Katanya, rakyat akan menghargai UMNO sekiranya parti berpegang kepada prinsip mendahului segala kepentingan rakyat daripada yang lain.
“Kali ini UMNO berbeza kerana kita kehilangan kuasa dan keadaan berbeza itu mendatangkan ujian atau masalah kepada kita.
“Sejak dulu hingga kini banyak pengorbanan yang dilakukan pemimpin terdahulu bermula daripada idea sehinggalah kita mengecap nikmat kebaikan serta pembangunan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati di sini hari ini.
Tambah Tengku Razaleigh, semua ahli yang bersidang harus mengukuhkan asas perjuangan supaya segala pengorbanan parti terdahulu akan menjadi bukti serta pegangan generasi akan datang. K! ONLINE.










