AMMAN – Protes kemarahan terhadap langkah penjimatan yang disokong Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) termasuk draf cukai pendapatan baharu dan kenaikan harga barang menggemparkan bandar-bandar di seluruh Jordan kelmarin, beberapa jam selepas kerajaan serta kesatuan sekerja gagal mencapai persetujuan bagi mengelakkan kebuntuan.
Kira-kira 3,000 orang berhimpun berhampiran pejabat Perdana Menteri di pusat bandar Amman yang dikawal ketat pasukan keselamatan hingga awal pagi kelmarin. Mereka mengibarkan bendera Jordan dan membawa sepanduk tertera slogan: “kami tidak akan tunduk.”
Protes seumpamanya bermula di Jordan sejak Rabu lalu apabila ratusan penduduk membanjiri jalan-jalan di Amman dan menunjuk perasaan di bandar-bandar lain untuk menumbangkan kerajaan.
Demonstrasi itu diadakan susulan usul cukai pendapatan baharu oleh kerajaan yang menyasarkan kenaikan cukai sekurang-kurangnya lima peratus kepada pekerja dan antara 20 hingga 40 peratus terhadap syarikat di negara itu.
Langkah itu adalah yang terbaharu dalam siri rombakan ekonomi selain kenaikan harga barangan asas beberapa kali sejak Amman memuktamadkan pinjaman berjumlah AS$723 juta (RM2.8 bilion) daripada IMF pada 2016.
Firma penganalisis ekonomi berpangkalan di Britain, The Economist Intelligence Unit pada awal tahun ini menyenaraikan ibu negara Jordan itu sebagai antara bandar raya yang mempunyai kos sara hidup paling tinggi di dunia Arab.
Sejak Januari tahun ini, Jordan yang bergelut dengan kadar pengangguran tinggi dan kekurangan sumber negara bertindak menaikkan harga barangan asas berulang kali termasuk makanan seperti roti. – AFP










