Raja Perlis, Raja Muda Perlis menghadiri majlis berbuka puasa IPT Perlis - Utusan Malaysia

Raja Perlis, Raja Muda Perlis menghadiri majlis berbuka puasa IPT Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 9 Jun – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Ihtifal Ihya Ramadan institusi pengajian tinggi (IPT) Perlis 2018 di Dewan Cengal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Arau di sini malam tadi.

Berangkat sama pada majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda-baginda disambut oleh Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin.

Seperti tahun lalu, sebanyak tujuh IPT di negeri ini iaitu UiTM; Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs); Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS); Institut Pendidikan Guru (IPG); Kolej Matrikulasi dan Kolej Komuniti bergabung tenaga menjadi hos pada majlis berbuka puasa itu.

Selain berbuka puasa, para hadirin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan terawih berjemaah di Masjid An Nur UiTM di kampus tersebut.

Di akhir majlis, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Tuanku Canselor Unimap dan KUIPs berkenan menyerahkan sumbangan kepada para pelajar dari kalangan keluarga asnaf.

Turut diadakan ialah penyerahan nota tuan rumah kepada KUIPs bagi menjadi hos majlis tersebut pada tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN