Proses baik pulih rumah kandang kambing bermula esok - Utusan Malaysia

Proses baik pulih rumah kandang kambing bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) akan membaik pulih rumah ibu tunggal tujuh anak yang tinggal di kandang kambing di Kampung Batu 5, di sini esok.

Presidennya, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, seramai 15 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan 10 sukarelawan belia digerakkan untuk membaik pulih rumah itu.

Katanya, tindakan segera membaik pulih rumah terbabit dibuat supaya dapat mengatasi masalah tempat perlindungan bagi keluarga terbabit.

“Kami berharap sekurang-kurangnya empat beranak itu dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan dengan sempurna.

“Saya simpati dengan nasib empat beranak itu dan kita akan segera membaik pulih kandang kambing tersebut supaya menyerupai sebuah rumah kediaman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Syahbuddin, bahan binaan seperti kayu dan papan diperolehi hasil sumbangan kebanyakan kontraktor sekitar daerah ini yang turut bersimpati dengan keluarga terbabit.

“Kita akan besarkan sedikit kediaman mereka. Kita akan asingkan ruangan tidur dengan tempat memasak dalam bangsal itu supaya keluarga terbabit selesa dan keselamatan mereka lebih terjamin daripada terdedah kepada bahaya kebakaran,” katanya.

Baru-baru ini, Kosmo! menyiarkan kisah ibu tunggal bersama tiga anaknya terpaksa tinggal di kandang kambing itu sejak setahun lalu selepas bercerai dengan suaminya.

Ruslida kamarazaman, 38, bersama tiga anaknya berusia dua, sembilan dan 13 tahun terpaksa tinggal di kandang kambing itu kerana tidak ada tempat berteduh. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN