KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang diberikan ingatan agar menutup mulut dan tidak masuk campur dalam urusan pemilihan UMNO yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, tindakan veteran DAP itu yang menyentuh urusan pemilihan UMNO dan mengaitkan nama beliau dalam pertandingan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO sebagai sesuatu yang melanggar sempadan yang sepatutnya.
“Kit Siang sekali lagi cuba mengaitkan nama saya dalam tulisan di blognya beberapa hari lalu apabila beliau menyentuh secara langsung urusan dalaman UMNO termasuk pemilihan UMNO pada 30 Jun ini dan penglibatan saya sebagai calon Timbalan Presiden UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.
Annuar meminta Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri supaya menyatakan sebarang perkara yang melibatkan dirinya pada sidang Parlimen nanti.
“Kalau ada apa-apa daripada anda untuk saya, kita bertemu dalam gelanggang di Parlimen nanti. Itu tempatnya,” kata beliau.










