SEPAKAN kencang pemain tengah Jerman, Mario Gotze membolos gawang Argentina pada minit ke-113 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil pada Piala Dunia 2014 masih terpahat di ingatan setiap peminat bola sepak seluruh dunia.
Gol tunggal tersebut menyaksikan Jerman menjulang Piala Dunia buat kali keempat sekali gus menjadi pasukan Eropah pertama menjulang Piala Dunia di benua Amerika Selatan.
Tahun ini, keghairahan peminat bola sepak di seluruh dunia kembali membara apabila temasya Piala Dunia Rusia 2018 bakal membuka tirai pada 14 Jun hingga 15 Julai depan.
Penganjuran temasya yang ke-21 sejak diadakan pada tahun 1930 itu bakal menyaksikan sebanyak 32 pasukan terbaik di dunia antaranya Jerman, Brazil, Argentina, Portugal, Sepanyol, England, Uruguay dan Colombia berentap merebut gelaran juara.
Aksi perlawanan bakal berlangsung di 12 stadium di Moscow, Saint Petersburg, Sochi, Ekaterinburg, Kazan, Nizhny Novgorod, Rostov-on-Don, Samara, Saransk, Volgograd dan Kaliningrad.
Sebagai tuan rumah, Rusia membelanjakan sebanyak AS$11.6 bilion (RM46 bilion) secara keseluruhannya bagi merealisasikan penganjuran acara berprestij dengan jangkaan kedatangan seramai sejuta pelawat dari seluruh dunia untuk menyaksikan kejohanan bola sepak itu.
Tidak hanya tertumpu kepada keterujaan peminat bola sepak tanah air yang sanggup berjaga sehingga ke awal pagi untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi, fiesta tersebut turut menjadi lubuk menjana pendapatan kepada pihak penganjur, tuan rumah dan negara-negara lain.
Kejohanan tersebut dilihat turut dapat memacu ekonomi Rusia dari aspek pelancongan seperti perhotelan dan penerbangan apabila peminat bola sepak dari seluruh pelosok dunia datang semata-mata untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi.
Bahang kehangatan Piala Dunia Rusia 2018 semakin terasa apabila Ketua Jabatan Sukan dan Pelancongan Moscow, Nikolay Gulyaev seperti yang dilaporkan agensi berita antarabangsa berkata, bulan lalu sahaja sebanyak 86 peratus daripada 1,300 hotel di Moscow sudah habis ditempah dalam tempoh kejohanan tersebut berlangsung.
Pelancongan
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Hospitaliti dan Acara Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya. Dr. Basri Rashid, Piala Dunia dikategorikan sebagai pelancongan acara yang menjadi daya penarik sesebuah negara kepada pelancong asing.
Katanya, selain tertumpu kepada acara kejohanan sudah tentunya ia bakal memberikan kesan positif terhadap ekonomi negara dan masyarakat setempat.
“Ada penyokong yang datang bersama dengan keluarga dan pastinya mereka akan berkunjung ke lokasi-lokasi pelancongan lain di Rusia.
“Apabila melancong ke sesebuah negara, para pelancong memerlukan penginapan, pengangkutan, makanan dan cenderamata yang sekali gus dapat menjana ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Sehubungan itu, katanya, kebanyakan negara di dunia ini cenderung untuk menjadi tuan rumah bagi acara-acara sukan bertaraf antarabangsa untuk meningkatkan industri pelancongan negara berkenaan.
“Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan peminat sukan datang ke negara ini untuk menyaksikan acara berkenaan,” katanya.
Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh berkata, bukan hanya memberi kesan terhadap ekonomi di Rusia, impak turut dirasai di Malaysia apabila berlakunya aktiviti dalam sektor peruncitan.
Katanya, budaya rakyat Malaysia gemar menonton perlawanan bola sepak di restoran bersama rakan-rakan mereka sehingga ke awal pagi untuk merasai lebih keseronokan berbanding menyaksikan seorang diri di rumah.
“Ia penyumbang kepada sektor peruncitan selain itu siaran perlawanan sehingga ke awal pagi juga meningkatkan kadar penggunaan tenaga elektrik,” katanya.
Jelasnya lagi, perniagaan melibatkan barangan sukan seperti baju atau jersi negara bertanding dan cenderamata berkaitan Piala Dunia sudah tentunya mampu meraih keuntungan berbanding hari biasa.
Hak penyiaran
Menyentuh mengenai slot pengiklanan semasa Piala Dunia disiarkan, Mohamad Noorizuddin berkata, caj yang dikenakan adalah lebih mahal sehingga 50 kali ganda berbanding hari biasa sekali gus memberikan keuntungan kepada stesen televisyen yang menyiarkan aksi tersebut.
Berdasarkan laporan kewangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 2014, FIFA menjana keuntungan sebanyak AS$4.8 bilion (RM19 bilion) berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan bagi penganjuran Piala Dunia 2014 di Brazil sebanyak AS$2.2 bilion. (RM8.7 bilion).
FIFA meraih keuntungan sebanyak AS$2.4 bilion (RM9.5 bilion) daripada bayaran yuran untuk hak penyiaran, penajaan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.3 bilion) dan penjualan tiket perlawanan, AS$527 juta (RM2 bilion).
Di Malaysia, lesen penyiaran temasya berkenaan sebelum ini dipegang oleh stesen televisyen berbayar, Astro dan pada Piala Dunia kali ini stesen tersebut bakal menyiarkan kesemua 64 perlawanan secara langsung.
Pas Saluran Piala Dunia ditawarkan kepada pelanggan Pek Sukan Astro, SuperPack dan SuperPack Plus sementara yang tidak melanggan dan pelanggan berbayar NJOI boleh mendapatkan pas tersebut pada harga RM100 dan bagi bukan pelanggan Astro boleh menonton menerusi platfrom Astro Go pada harga RM120.
Bagaimanapun, acara berprestij itu boleh ditonton secara percuma menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan inisiatif tersebut baru-baru ini.
Sebanyak 27 daripada 41 perlawanan akan disiarkan secara langsung manakala 14 lagi pula secara tertunda melibatkan peruntukan RM30 juta, namun kerajaan tidak mengeluarkan belanja bagi menampung kos penyiaran temasya tersebut kerana telah menerima penajaan daripada pihak swasta.
Pihak penaja pula akan menerima pulangan daripada iklan-iklan yang akan disiarkan semasa siaran langsung perlawanan.
Pengiklanan
Dalam pada itu, Pensyarah Pengiklanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Suhaimee Saahar berkata, syarikat-syarikat besar terutamanya akan mencari peluang untuk memasarkan produk mereka sama ada menerusi penajaan mahupun membeli iklan untuk ditayangkan pada siaran Piala Dunia Rusia 2018.
Katanya, setiap pemasar produk mahu mengambil kelebihan daripada temasya tersebut ekoran mempunyai jumlah penonton yang tinggi.
“Penonton yang menyaksikan siaran tersebut di kaca televisyen adalah berfokus terutamanya apabila melibatkan perlawanan pasukan hebat, jumlah penonton akan tinggi.
“Pada waktu ini, kita akan saksikan semua pemasar produk akan berusaha untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan penonton mengenai barangan yang ingin mereka ketengahkan.
“Sebagai contoh, apabila sesebuah syarikat itu mahu memperkenalkan telefon bimbit baharu, maka mereka akan memperlihatkan kelebihan dan kemampuan produk tersebut kepada penonton,” ujarnya.
Beliau menambah, syarikat yang terlibat pasti akan menggunakan pelbagai kaedah pemasaran kreatif seperti mengeluarkan cenderamata eksklusif Piala Dunia Rusia 2018 memandangkan ia adalah kejohanan sebelum tahun 2020.
“Terdapat pelbagai bentuk iklan dan kelazimannya stesen televisyen akan menawarkan pakej tertentu untuk meraih keuntungan.
“Bagaimanapun, tempoh Piala Dunia yang singkat menyebabkan ia eksklusif. Hanya syarikat-syarikat yang besar dan berkemampuan akan mengambil peluang dan sekiranya terdapat syarikat kecil terlibat ia adalah kelebihan kepada mereka,” katanya.
Suhaimee berkata, caj yang dikenakan terhadap iklan adalah berbeza antaranya mengikut waktu dan durasi ia ditayangkan.
Jelasnya lagi, pada aksi perlawanan-perlawanan awal kemungkinan tidak ramai lagi penonton kerana masih banyak pasukan yang bertanding, namun apabila masuk kepada peringkat suku akhir, separuh akhir atau final jumlah penonton akan meningkat.
Dalam pada itu, eksekutif jualan di kedai barangan sukan Mykitzone Sdn. Bhd., Ahmad Abu Bakar berkata, jersi dan barangan sukan berkaitan Piala Dunia Rusia 2018 sememangnya laris bagai pisang goreng.
Jersi
“Penjualan jersi terutamanya naik sehingga 60 peratus berbanding sebelum ini dan kami menjangkakan ia akan meningkat sebelum temasya bermula.
“Jangkaan ini dibuat selepas melihat corak jualan pada Piala Dunia 2014 yang boleh dikatakan 100 peratus barangan berkaitan habis dijual,” ujarnya yang turut memberitahu premis tersebut turut menawarkan perkhidmatan percetakan bagi nombor dan nama yang diimport khas dari United Kingdom.
Jelasnya, bukan hanya jersi pasukan diminati akan laris dijual malah pasukan bukan pilihan utama yang berjaya memasuki peringkat seterusnya turut akan menjadi tumpuan.











