Pertukaran jurulatih tidak jejas rentak Jepun - Utusan Malaysia

Pertukaran jurulatih tidak jejas rentak Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MORDOVIA 19 Jun – Pertukaran jurulatih dua bulan sebelum aksi Piala Dunia jelas tidak mengganggu aksi sebenar Jepun selepas negara matahari terbit itu meraih tiga mata berharga dengan menundukkan Colombia 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan H, sebentar tadi.

Aksi di Arena Mordovia itu menyaksikan skuad kendalian Akira Nishino terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Colombia yang beraksi dengan 10 pemain selepas Carlos Sanchez dilayangkan kad merah seawal minit ketiga permainan selepas bertindak menahan bola menggunakan tangan di dala kotak penalti.

Shinji Kagawa kemudiannya meletakkan Jepun di hadapan menerusi sepakan penalti yang diberikan kepada skuad Samurai Blue.

Meskipun dengan hanya 10 pemain, skuad Los Cafeteros terus memberikan saingan apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas sepakan bebas kaki kiri Juan Quintero berjaya menerjah gawang Jepun pada minit ke-39.

Yuya Osako menjadi wira Jepun selepas berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Keisuke Honda untuk memastikan skuad negara matahari terbit itu membawa pulang tiga mata penting pada minit ke-73.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN