KUALA LUMPUR 21 Jun – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menghentikan permohonan secara manual kad konsesi MyRapid di bawah platform ‘Touch n Go’ untuk golongan pelajar bermula semalam.
Prasarana dalam kenyataannya berkata, pihaknya menghentikan permohonan kad konsesi yang sebelum ini dilakukan secara manual dengan permohonan dalam talian sepenuhnya.
Kenyataan itu memberitahu, pembayaran yuran kad berharga RM15 akan dikenakan melalui potongan kad kredit atau debit yang sah kepada portal perbankan.
“Proses pendaftaran ini akan mengambil masa selama lima hari bekerja. “Pemohon boleh memilih untuk memungut kad konsesi mereka di empat pusat konsesi,” kata kenyataan itu.
Lokasi pungutan kad adalah di Pusat Konsesi Hab Bas pasar Seni, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah, Stesen Bas Rapid Transit (BRT) Sun U Monash dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bandar Tun Hussien Onn.
Menurut kenyataan itu, bantuan khas untuk permohonan secara manual hanya dilakukan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tidak mempunyai akses internet.
“Golongan OKU hanya perlu menunjukkan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika mendaftar secara manual,” katanya.
Sebarang maklumat atau pertanyaan sila hubungi talian khidmat pelanggan Prasarana di talian 03 78852525.
habis//











