KOTA KINABALU – Seorang penunggang basikal maut dipercayai dirempuh kenderaan jenis Mazda dalam kejadian di Jalan Lintas berhampiran Taman Khidmat di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Jazlan Atah Abdullah, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, susulan kemalangan tersebut penunggang basikal jenis PSX meninggal dunia namun, remaja lelaki berusia 24 yang memandu kereta Mazda terbabit dilaporkan selamat.
“Sebelum insiden, mangsa sedang menunggang basikalnya di kawasan kejadian sebelum dirempuh kereta Mazda yang datang dari arah sama.
“Rempuhan itu telah menyebabkan lelaki berkenaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Chandra, pihak polis tidak menolak kemungkinan disyaki remaja lelaki itu memandu kenderaannya dalam keadaan cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











