Pengemis ambil kesempatan Ramadan minta sedekah di masjid - Utusan Malaysia

Pengemis ambil kesempatan Ramadan minta sedekah di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Semua pintu pagar utama Masjid Muhammadi, di sini dibanjiri pengemis asing dan tempatan bagi mengambil kesempatan mencari rezeki dari ihsan dan sedekah orang ramai hari ini.

Mereka hanya kelihatan di pintu utama bersama beg plastik dan bekas minuman kosong untuk menadah sumbangan wang dari orang ramai selepas selesai solat Jumaat.

Seorang ahli kariah masjid itu, Abdul Malik Awang, 44, berkata, adalah kelaziman masjid di sekitar bandar ini akan dibanjiri peminta sedekah sama ada kanak-kanak sehingga warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) menjelangnya hari raya Aidilfitri.

“Peminta sedekah turut melibatkan penghuni pondok tertentu dari negara jiran selain segelintir pelajar yang mendakwa mereka dari pusat tahfiz.

“Mereka akan berderetan di tepi pagar utama dan wakaf berdekatan sambil meminta ihsan simpati orang ramai. Malah yang masih sihat turut menjual barangan makan dan mendakwa mereka sebagai penghuni pondok,” katanya dalam satu tinjauan di sini hari ini.

Seorang lagi ahli jemaah masjid ini, Kamarudin Ismail, 30, berkata, kebanyakan pengemis berkemungkinan besar sudah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun mereka bertindak meminta kerana bulan puasa ini dianggap bulan rezeki selain umat Islam amat gemar bersedekah.

“JKM perlu membuat pemantauan dalam usaha mengekang kebanjiran pengemis di pusat bandar yang dikunjungi orang ramai bagi membuat persiapan hari raya. Bukan setakat pengemis  dari beberapa daerah di negeri ini tetapi turut melibatkan kehadiran pengemis Mymar dan Selatan Thailand,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN