PETALING JAYA – Seorang penganggur mati selepas ditetak sekumpulan lelaki menggunakan parang dalam satu kejadian di Jalan PJS 2B/3, Metro Square, PJS 2 di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa, S. Ravindran, 22, maut akibat pendarahan teruk susulan lengan kirinya hampir putus ditetak penjenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd. Zani Che Din berkata, mangsa diserang berhampiran sebuah kedai cuci kereta, berhadapan blok 10, Pangsapuri Desa Mentari 2, sebelum melarikan diri dalam jarak kira-kira 200 meter dari tempat dia diserang.
Katanya, hasil siasatan mendapati penganggur itu berada di atas motosikal ketika kejadian sebelum diserang 20 lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun menggunakan parang.
“Siasatan pihak forensik mendapati ada kesan tetakan pada lengan kiri mangsa, calar pada bahu sebelah kiri dan luka pada pergelangan tangan kiri.
“Selain itu, pihak polis turut menemui dua parang diselitkan di bawah kenderaan yang diletakkan berhampiran tempat mangsa di serang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, susulan kejadian itu, pihak polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang tinggal di Pangsapuri Desa Mentari bersama ibunya itu dipercayai dibunuh akibat dendam lama.
“Tahun lepas Ravindran atau lebih mesra dengan panggilan Appu terlibat dalam satu kes pergaduhan membabitkan satu kumpulan berhampiran pangsapuri ini dan hari ini (semalam) ketika kejadian dia dipercayai menerima panggilan daripada individu tidak dikenali sebelum ditemui mati dibunuh.
“Dia (mangsa) tidak ada musuh dan sebagai rakan saya percaya geng yang terlibat dalam pergaduhan tahun lepas membalas dendam terhadap mangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.











