KUALA LUMPUR 26 Jun – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, hujung tahun lalu.
Muhamad Sani Mahdi Sahar, 25, didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan pintu masuk Blok 3 dan di rumah bernombor B3-14-23, Apartmen Desa Mentari, Jalan PJS 5/12, Petaling di sini pada pukul 5.15 petang dan 5.30 petang, 23 Disember 2017.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu yang diwakili peguam Nurain Sakina Zakri, didakwa telah ada dalam milikan item-item berunsur perbuatan keganasan yang berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya dan lima helai baju.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Norfaida Mohd. Rashidee mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan barangan boleh dilucutkan hak.
Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.











