PASIR MAS 1 Jun – Seorang pemuda berusia 19 tahun yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak dua tahun lalu dicekup bersama 1,000 biji pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM15,000 di hadapan sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, suspek ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Kuala Terengganu ketika mereka melakukan tugas penguatkuasaan risikan sempadan di kawasan tersebut.
Menurutnya, ketika ditahan, suspek didapati memegang satu bungkus plastik berwarna ungu yang mengandungi dadah jenis Eramin 5 berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah itu dari seorang lelaki Melayu warga Thailand yang tinggal di Kampung Padang Nyiur, Munduk, Thailand.
“Bekalan dibeli secara tunai oleh suspek daripada lelaki berkenaan. Kita juga dapati dadah ini dijual di sekitar kawasan Jeram Perdah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Superintanden Md. Safri Man.
Abdullah memberitahu, saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam. – UTUSAN ONLINE










