PULAU PINANG 22 Jun – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri menyuarakan kebimbingan berhubung pemilikan hartanah oleh orang Melayu di negeri ini yang disifatkan sangat rendah iaitu hanya sekitar beberapa peratus.
Presidennya, Rizal Faris Mohideen berkata, berdasarkan rekod, orang Melayu memiliki aset yang sangat terhad di dua daerah iaitu Timur Laut dan Barat Daya yang terletak di bahagian pulau.
Bagaimanapun, katanya, masalah berkenaan bukan baru berlaku namun telah bermula sejak lebih 20 tahun lepas.
“Aset orang Melayu membabitkan pemilikan rumah dan lot-lot kedai di dua daerah berkenaan cukup rendah dan perkara ini perlu menjadi perhatian dan dibincangkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, Rizal Faris berkata, pihaknya menyokong tindakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang mahu menulis surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk menangani isu penolakan pinjaman perumahan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik.
Katanya, DPMM telah lama menyuarakan isu berkenaan dan sudah sampai masanya pendekatan baharu digunakan untuk menangani masalah berkenaan.
“Kami mendapati hampir 80 peratus orang Melayu kategori B40 terlibat dengan masalah ini sekali gus menyukarkan mereka memiliki rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











