KEPALA BATAS 19 Jun – Seorang pemandu bas pekerja patah dua batang gigi akibat ditumbuk seorang lelaki tidak dikenali berhampiran Plaza Tol Sungai Dua dekat sini lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, bas yang dipandu mangsa mengalami masalah brek sebelum gagal berhenti dan melanggar belakang sebuah kereta jenis Honda Civic lebih kurang 300 meter dari plaza tol itu.
Mangsa yang berusia 65 tahun kemudian berhenti di tepi jalan dan apabila turun dari bas, secara tiba-tiba datang seorang lelaki dan terus menumbuk mangsa di bahagian muka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek yang dipercayai kebetulan melalui jalan itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Kejadian itu tidak berjaya dirakam kamera litar tertutup kerana berlaku 300 meter dari plaza tol dan tiada saksi awam yang melihat kejadian itu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan saya memohon sesiapa yang ada maklumat agar tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










