PEMAIN Selangor tetap bersikap profesional meskipun terpaksa mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri mereka untuk melakukan persediaan bagi berdepan Perak pada saingan Liga Super hari ini di Stadium Kuala Lumpur, Cheras dan Sabtu ini bagi aksi separuh akhir pertama Piala FA.
Skuad Gergasi Merah hanya mempunyai tiga hari untuk membuat persiapan menjelang perlawanan ke-16 Liga Super dan kurang seminggu untuk berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mengakui barisan pemainnya tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi kerana masing-masing memikul tanggungjawab untuk menyumbang kejayaan buat pasukan.
“Ia agak sukar bagi kami untuk membuat persediaan dalam tempoh masa yang singkat. Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemain tetap menjadi semangat kepada kami untuk berdepan dua perlawanan penting ini.
“Selepas bertemu Perak, kami bakal berdepan perlawanan penting kerana semestinya pemain mahukan bekalan yang selesa untuk dibawa pulang ketika bertandang ke tempat lawan bagi aksi pertama separuh akhir Piala FA,” katanya.
Sementara itu, semua pemain menunjukkan karakter yang sangat bagus meskipun mereka hanya diberikan masa yang singkat untuk pulang ke kampung bagi meraikan Syawal tahun ini.
“Dalam sesi latihan yang dijalankan, mereka menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk bermain serta masing-masing mempersiapkan diri untuk melakukan yang terbaik bagi perlawanan minggu ini.
“Pada masa sama, saya melihat semua pemain telah bersedia untuk diturunkan serta tahap kecergasan mereka kini membuatkan Selangor optimis bagi mencatatkan keputusan yang positif dalam kedua-dua aksi ini,” ujarnya.










