Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak dirangka – TPM - Utusan Malaysia

Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak dirangka – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 21 Jun – Kerajaan akan merangka Pelan Hala Tuju Kese­jah­teraan Kanak-kanak ba­gi menangani secara holistik masalah nutrisi, sosial, kesihatan, pendi­dikan, kemiskinan dan kewarganegaraan membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelan yang akan dibentuk dalam tempoh sebulan itu menggariskan prinsip, objektif serta formula penyelesaian yang bakal dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebuah jawatankuasa Pemandu akan dibentuk untuk merangka pelan ber­kenaan melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan kementeriannya selaku sekretariat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak boleh bercakap mengenai masa depan lebih baik sekiranya kira-kira satu daripada tiga atau satu daripada empat anak-anak kita hidup dalam kemiskinan,” katanya dalam si­dang akhbar di pejabatnya di Ba­ngunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempe­ngerusikan mesyuarat antara ke­menterian yang turut disertai Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun serta wakil-wakil Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Mesyuarat berkenaan turut melibatkan Timbalan Perwakilan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagi membincangkan masalah kanak-kanak bantut serta kesejahteraan di negara ini secara menyeluruh.

Menurut Wan Azizah, meskipun kerajaan membelanjakan sebanyak RM287 juta sejak 1989 sehingga 2017 untuk program kesejahteraan kanak-kanak, namun program berkenaan tidak mencapai keberkesanan yang dikehendaki.

“Kita ada menghadapi masalah nutrisi, perumahan dan persekolahan (yang melibatkan kanak-kanak), masalah ini yang kita perlukan koordinasi (antara kementerian) untuk mendapatkan penyelesaian secara holistik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, walaupun Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dulu dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mempunyai banyak manfaat, kajian semula terhadapnya wajar dilakukan kerana ia gagal mengambil kira perbezaan kemiskinan setiap penerima bantuan itu.

Menurutnya, negara perlu berubah daripada mekanisme bantuan berbentuk sumbangan kebajikan kepada bantuan berbentuk mampan yang memboleh­kan rakyat lebih berdikari untuk meningkatkan taraf kehidupan.

Sementara itu, dalam perkara berasingan berhubung terdapat­nya penjawat awam yang tidak menyokong dan ‘menghalang’ ke­rajaan Pakatan Harapan, beliau memberi amaran tegas kepada golongan berkenaan untuk bersikap profesional.

“Ini adalah amaran kepada mereka yang melakukan perkara berkenaan, kita mengharapkan profesionalisme penjawat awam dan mereka perlu berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini