KOTA BHARU – Seorang pekerja penyelenggara terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki yang sudah berulat di dalam stor pam bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Tok Hakim, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi, petugas kontrak itu, Nik Mohd. Sufian Nik Abdullah, 34, sedang melakukan kerja menyelenggara di rumah pam berkenaan.
Menurutnya, sebaik menghampiri rumah pam itu dia menghidu bau busuk yang datang dari dalam stor yang menempatkan pam kumbahan bangunan TNB itu.
“Saya tidak boleh nak berkata-kata hingga kini kerana masih terkejut. Sebaik sahaja membuka pintu stor itu saya lihat mayat yang sudah mula berulat dalam keadaan terlentang.
“Hari ini memang saya ditugaskan untuk melakukan tugas menyelenggara di stor berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dia kemudian bertindak melaporkan perkara itu kepada penyelianya sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Difahamkan, mangsa yang maut dan lengkap berpakaian itu dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah pasaraya yang terletak bersebelahan bangunan TNB tersebut.
Polis menemui wang tunai RM14 di dalam poket seluar mangsa. – K! ONLINE











