KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pas Terengganu tidak berhasrat untuk menghalang pelancong bukan beragama Islam dari dalam mahupun luar negara untuk mengadakan aktiviti pelancongan termasuk memakai bikini di kawasan pantai dan pulau peranginan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan sikap toleransi kerajaan negeri dalam mengurus keharmonian masyarakat kerana pakaian bikini adalah hak pelancong bukan Islam dan dianggap lazim di kawasan pelancongan.
“Kita juga tidak merancang untuk mengenakan sesuatu hukuman dan halangan yang keras terhadap pelancong yang bukan beragama Islam termasuk memakai bikini.
“Cara pemakaian itu adalah hak mereka dan biasa dipakai apabila berada di kawasan pelancongan.
“Namun, ada kemungkinan satu perbincangan akan diadakan bersama mereka (pelancong asing) untuk membuat sesuatu perubahan mengikut kesesuaian pada masa yang akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.











