OCBC perkenal pinjaman pendidikan - Utusan Malaysia

OCBC perkenal pinjaman pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – OCBC Bank (Malaysia) Bhd. (OCBC Bank) memper­kenalkan pinjaman pengajian terbaharunya, Pinjaman Pendidikan OCBC, dengan kadar faedah efektif bermula daripada 6.14 peratus setahun.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Lim Wyson berkata, pengenalan produk pinjaman itu menjadikan ia sebagai satu-satunya institusi kewangan asing yang menawarkan kemudahan tersebut.

Menurutnya, produk tersebut diperkenalkan sejajar dengan kedudukan kukuh bank tersebut sebagai penyedia utama pinjaman pengajian antara bank-bank komersial di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah memperkenalkan Pinjaman Pendidikan OCBC ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pinjaman khusus yang ditambah baik untuk pendidikan tinggi.

“Kemudahan ini mengisi jurang besar memandangkan bilangan pelajar semakin bertambah dan mereka memerlukan lebih banyak dana untuk pendidikan luar negara serta pengajian lepasan ijazah.

“Ia termasuklah pelajar sepenuh masa dan sambilan yang perlu menampung kekurangan dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang layak diterima,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Wyson menjelaskan, pada tahun 2011, OCBC Bank menjadi bank komersial pertama yang kembali menawarkan pinjaman pengajian ke pasaran sejak ia dihentikan pada sekitar tahun 2003.

“Pada tahun 2015, kami memperkenalkan pinjaman pengajian pertama negara yang menggunakan deposit tetap sebagai cagaran.

“Ia membuktikan komitmen jangka panjang kami untuk menyediakan pinjaman pengajian kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Pinjaman Pendidikan OCBC menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 kepada pelajar yang mana ia boleh digunakan untuk menampung kos pengajian di samping jumlah maksimum yang ditawarkan menerusi skim pinjaman PTPTN.

Ia tidak mengenakan sebarang caj denda bagi penjelasan awal pinjaman, dan tiada yuran pemprosesan atau guaman.

Pinjaman tersebut disediakan untuk kursus di institusi pengajian terpilih di Malaysia dan luar negara, serta boleh dibayar balik sepanjang tempoh sehingga 10 tahun dengan pembayaran balik faedah lanjutan sehingga lima tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini