SEREMBAN 25 Jun – UMNO dipercayai mempunyai harta yang cukup untuk dimanfaatkan bagi menjalankan pelbagai kegiatan dan aktiviti parti di semua peringkat termasuk akar umbi.
Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kebanyakan harta berkenaan adalah dalam bentuk hartanah, bangunan dan saham diperoleh sejak tahun 60-an dengan nilainya kini mungkin mencapai beberapa bilion ringgit.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, sebahagian daripada harta berkenaan dipegang atas nama pemegang amanah dan ada yang tidak ditukar nama selepas individu tersebut tidak lagi memegang jawatan dalam parti.
“Kalau kita dapat kumpulkan dan senaraikan semula sekarang, saya rasa UMNO mempunyai banyak harta. Tinggal lagi bagaimana hendak urus dengan baik dan mana yang perlu dilabur semula dalam pelaburan yang boleh memberi pulangan baik kepada parti.
“Insya-Allah, kita ada peluang untuk mendapat pulangan lebih daripada yang kita jangkakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh Hamzah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penamatan penyaluran peruntukan bulanan ke semua bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara melalui surat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 22 Mei lalu.
Tengku Razaleigh menarik perhatian, ahli-ahli UMNO kini perlu berjuang dalam keadaan tiada lagi keistimewaan yang dinikmati seperti sebelum ini.
“Kita kena rasa pahit maung perjuangan politik tetapi saya percaya kita boleh lakukannya sama seperti para pejuang terdahulu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










