BARCELONA 4 Jun – Selepas tiga bulan tidak beraksi, Neymar membuktikan dia masih berbisa apabila meledak satu gol untuk membantu Brazil menewaskan Croatia 2-0 manakala gara-gara kesilapan yang dilakukan David de Gea menyebabkan Sepanyol diikat 1-1 oleh Switzerland.
Sementara itu, kapten Peru, Paolo Guerrero meraikan penangguhan hukuman doping dengan meledak dua gol ketika pasukannya menewaskan Arab Saudi 3-0 dalam satu lagi perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia.
Costa Rica pula melakar kemenangan mudah 3-0 ke atas Ireland Utara dengan dua gol menerusi tandukan Joel Campbell sekali gus memberi suntikan semangat apabila mereka diletakkan dalam Kumpulan E bersama Brazil, Switzerland dan Serbia.
Penampilan penyerang Paris Saint Germain (PSG), Neymar di pentas Piala Dunia 2018 pada mulanya diragui akibat kecederaan buku lali dan tulang kaki yang dialaminya, namun berdasarkan aksi memukaunya telah membuatkan harapan kembali diletakkan di bahu pemain berusia 26 tahun itu.
Pemain termahal di dunia itu melepasi dua pertahanan sebelum meledak gol pembukaan pada minit ke-69 sebelum penyerang Liverpool, Roberto Firmino menggandakan jaringan pada minit terakhir permainan di Anfield. Kemenangan itu juga membolehkan Brazil dilabelkan sebagai salah satu pasukan pilihan.
“Dia kembali beraksi dengan lebih baik berbanding jangkaan saya. Dia pemain yang berbeza namun dia tidak boleh menentukan permainan secara berseorangan, dia pemain utama namun itu bukan segala-galanya,” kata jurulatih Brazil, Tite.
Sepanyol diramalkan mencipta kejutan di Rusia selepas kegagalan melepasi peringkat kumpulan empat tahun lalu namun mereka dikecewakan oleh penjaga gol Manchester United, De Gea yang gagal menangkap kemas percubaan Stefan Lichtsteiner sebelum bola disambar oleh Ricardo Rodriguez untuk menyamakan kedudukan setelah Alvaro Odriozola menghasilkan gol pembukaan.
“Saya yakin untuk aksi seterusnya kami boleh menterjemahkan separuh daripada peluang yang dicipta pada hari ini (semalam). Saya gembira kerana kami mencipta banyak peluang dan lawan sukar melakukannya,” kata jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui.
Dalam pada itu, Guerrero menjaringkan gol kedua dan ketiga Peru dalam penampilan pertamanya sejak kelayakan Piala Dunia di Argentina Oktober lalu selepas didapati positif kokain, berpunca daripada teh yang diminumnya di mana pemain berusia 34 tahun itu mendakwa dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Guerrero dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum dikurangkan enam bulan selepas mengemukakan rayuan.
Hukuman itu menamatkan impiannya untuk beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama selepas penggantungannya ditingkatkan kepada 14 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Namun, Tribunal Persekutuan Switzerland bersetuju menangguhkan hukumannya dan dia boleh beraksi di Rusia.
“Detik yang cukup beremosi untuk dirinya, rakan sepasukan dan semua penyokong termasuk keluarganya dan saya turut tumpang gembira,” kata jurulatih Peru, Ricardo Gareca. – REUTERS











