Naik taraf Hotel Sama-Sama KLIA - Utusan Malaysia

Naik taraf Hotel Sama-Sama KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – KL Airport Hotel Sdn. Bhd. (KLAH), pemilik Hotel Sama-Sama KLIA, memperuntukkan kos pelaburan bernilai hampir RM14 juta pada tahun ini.

Ia bagi menaiktaraf bahagian restoran, bar dan majlis bankuet serta lobi dalam usahanya untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Pemangku Pengurus Besarnya, Sundralingam Kulendra berkata, dengan penaiktarafan utama bertumpu kepada bahagian restoran, bar dan majlis, hotel itu akan mengetengahkan konsep makan sepanjang hari berserta tema unik yang lebih segar.

“Menerusi konsep baharu itu, pe­langgan akan merasai pengalaman berbeza dari segi suasana yang diketengahkan mengikut sudut-sudut menjamu selera termasuk hidangan Barat, Jepun, Asia, kopitiam, Me­layu, Cina dan India.

“Selain itu, kami juga akan menyediakan ruang makan dan istirahat terbuka dengan pemandangan air terjun dan pelbagai tumbuhan, sejajar dengan konsep mesra alam hotel ini.

“Kami menjangkakan untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf ini secara berperingkat pada September depan dengan sasaran untuk siap sepenuhnya pada suku pertama 2019,” katanya kepada Kosmo! dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai prospek pertumbuhan hotel lapangan terbang itu, Sundralingam berkata, KLAH menyasarkan untuk mencapai kadar penginapan kira-kira 79 peratus pada tahun ini.

“Meskipun kami melihat pasaran agak perlahan tahun ini disebabkan pasaran Eropah yang menyederhana, namun ia dijangka kembali meningkat pada suku ketiga dan keempat.

“Bagaimanapun, pada tahun lepas Hotel Sama-Sama KLIA telah mencatatkan pertumbuhan yang baik dengan kadar penginapan sebanyak 81 peratus, dipacu oleh penganjuran pelbagai acara besar seperti kejohanan MotoGP,” ujarnya.

Dengan menawarkan sejumlah 442 bilik, Hotel Sama-Sama KLIA mengetengahkan konsep rekaan ­oasis bandar berserta budaya Me­layu tradisional.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk ruang acara se­perti dewan utama, bilik mesyuarat dan auditorium; pusat kecergasan; kolam renang; gelanggang tenis; ruang istirahat kru penerbangan dan kelab premium.

KLAH, anak syarikat milik majo­riti Malaysia Airports Holdings Bhd., turut memiliki dua lagi hotel transit iaitu Sama-Sama Express KLIA dan Sama-Sama Express KLIA2, yang menawarkan kemudahan istirahat, mandi, makan dan minum serta penginapan transit untuk penum­pang di bangunan satelit kedua-dua lapangan terbang tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN