Selepas tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan tetap ramai anak muda mendambakan kehidupan baharu yang lebih bebas, termasuk memiliki kediaman sendiri terutamanya bagi golongan yang sudah berkahwin.
Namun bagi Nurazreen Natasya Nor Azman, 24, bekerja dan mendirikan rumah tangga tidak bermakna dia akan terus meninggalkan rumah keluarganya apatah lagi setelah kehilangan ayah tercinta beberapa tahun lalu.
Tiga tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan di hospital swasta, Nurazreen masih memilih untuk menetap bersama ibunya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ibu kepada seorang anak perempuan itu berkata, keputusan itu dibuat selepas dia mengambil kira kemampuan kewangan, terutama kos sewa rumah, pengangkutan, makanan, bil utiliti dan komitmen bulanan lain.
“Bukan saya tak nak duduk sendiri. Cuma bila saya kira semua perbelanjaan, saya rasa lebih baik saya tinggal dengan keluarga dulu dan simpan duit untuk masa depan. Selain itu boleh juga jagakan ibu yang tinggal seorang diri,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nurazreen, tinggal bersama keluarga membolehkannya menyimpan sebahagian pendapatan selain membantu menanggung beberapa perbelanjaan keluarga.
Kos keluar rumah semakin tinggi
Situasi yang dihadapi Nurazreen bukan sesuatu yang boleh dilihat hanya dari sudut keengganan anak muda untuk berdikari.
Sebaliknya, keputusan untuk terus tinggal bersama ibu bapa semakin berkait rapat dengan kemampuan ekonomi golongan muda pada peringkat awal kerjaya.
Timbalan dekan (Penyelidikan dan Inovasi) di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan berkata, fenomena itu perlu dilihat dalam konteks perubahan kehidupan golongan muda pada masa kini.

Menurutnya, pada 20 tahun lalu, mendapat pekerjaan sering dianggap sebagai titik permulaan untuk seseorang keluar daripada rumah keluarga, berkahwin dan membina rumah tangga sendiri.
Namun, perjalanan kehidupan golongan muda hari ini semakin panjang dan berbeza berikutan perubahan keadaan ekonomi serta peningkatan kos kehidupan.
Walaupun mempunyai pekerjaan, pendapatan pada peringkat awal kerjaya mungkin belum mencukupi untuk menampung sewa rumah, pengangkutan, makanan, utiliti, pinjaman pendidikan, kenderaan dan simpanan secara serentak.
Gaji pertama belum tentu cukup
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median gaji bulanan pekerja formal pada suku pertama 2026 ialah sebanyak RM3,027.
Bagi pekerja berumur 20 hingga 24 tahun, median gaji bulanan pula ialah RM1,699, manakala kumpulan umur 25 hingga 29 tahun mencatatkan median RM2,095.
Angka tersebut menunjukkan cabaran yang dihadapi golongan muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan, khususnya apabila pendapatan perlu dibahagikan kepada pelbagai keperluan.
Dr. Hanina berkata, mempunyai pendapatan dan mempunyai kemampuan ekonomi untuk membentuk isi rumah sendiri merupakan dua perkara yang berbeza.
“Persoalannya bukan sekadar sama ada seseorang itu sudah mempunyai gaji, tetapi berapa banyak pendapatan yang boleh digunakan selepas ditolak keperluan asas,” katanya.
Rumah sendiri, tanggungan sendiri
Keadaan itu bermakna individu berkenaan perlu menanggung sendiri kos yang sebelum ini dikongsi bersama keluarga seperti sewa, deposit rumah, elektrik, air, internet, makanan dan pengangkutan.
Bagi Nurazreen, kos sewa menjadi antara pertimbangan utama sebelum membuat keputusan untuk berpindah keluar.
Katanya, wang yang perlu diperuntukkan setiap bulan untuk sewa rumah boleh digunakan untuk membina simpanan dan persediaan kewangan jangka panjang.

Bukan tidak berdikari
Menurut Dr. Hanina, masyarakat juga perlu berhati-hati dalam melabel anak yang masih tinggal bersama ibu bapa sebagai tidak matang atau gagal berdikari.
Katanya, struktur keluarga di Malaysia menyebabkan tinggal bersama ibu bapa masih diterima secara sosial dan budaya, malah dalam sesetengah keluarga ia mewujudkan hubungan timbal balik.
Anak mungkin tidak membayar sewa rumah, tetapi mereka membantu membayar bil, membeli barangan dapur, membawa ibu bapa mendapatkan rawatan atau menjaga ahli keluarga lain.
“Jika seseorang bekerja, mengurus kewangannya sendiri, membantu perbelanjaan keluarga, mempunyai simpanan dan sedang merancang kehidupan masa hadapan, tinggal bersama ibu bapa tidak semestinya menunjukkan kebergantungan,” katanya.
Dr. Hanina berkata, fenomena itu lebih wajar dilihat sebagai satu daripada strategi adaptasi ekonomi keluarga berbanding semata-mata bentuk kebergantungan.
Menurut beliau, kebergantungan hanya menjadi isu apabila seseorang mempunyai kemampuan tetapi menyerahkan hampir keseluruhan tanggungjawab kehidupannya kepada ibu bapa.
Tangguh kahwin
Kesan fenomena itu tidak terhenti pada soal tempat tinggal kerana ia turut mempunyai kaitan dengan keputusan golongan muda untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri.
Dr. Hanina berkata, sesetengah golongan muda mungkin menangguhkan perkahwinan bukan kerana tidak mahu berkahwin tetapi kerana belum yakin mempunyai kestabilan kewangan, tempat tinggal dan kemampuan menanggung sebuah keluarga.
“Bank Negara sendiri menunjukkan perubahan struktur keluarga di Malaysia telah disertai kecenderungan menangguhkan perkahwinan dan kelahiran anak.
“Jadi isu perumahan golongan muda sebenarnya bukan hanya isu hartanah. Dalam jangka panjang ia berkait dengan pembentukan keluarga, kesuburan, kesejahteraan antara generasi dan struktur demografi negara,” katanya.
Harga rumah perlu realistik
Menurut Dr. Hanina, isu tersebut menunjukkan persoalan perumahan golongan muda tidak boleh dilihat sebagai isu hartanah semata-mata.
Beliau berkata, dasar perumahan perlu memberi lebih perhatian kepada penyediaan rumah sewa mampu milik untuk golongan muda yang bekerja, bukan hanya memberi tumpuan kepada pemilikan rumah.
Tidak semua anak muda perlu atau mampu membeli rumah pada usia 20-an, sebaliknya mereka memerlukan pilihan kediaman yang selamat, berpatutan serta berhampiran kawasan pekerjaan dan pengangkutan awam.
Pada masa sama, persoalan pendapatan juga perlu diberi perhatian supaya kenaikan gaji dan perkembangan kerjaya dapat bergerak seiring dengan kos kehidupan sebenar.
Literasi kewangan turut penting bagi membantu golongan muda membina dana kecemasan, mengurus hutang, menyediakan deposit kediaman dan merancang pembentukan keluarga.
Di peringkat keluarga pula, ibu bapa boleh terus memberi sokongan kepada anak sambil membantu mereka membentuk autonomi dan tanggungjawab terhadap kehidupan sendiri.

Berbeza pandangan
Bagi Aina Rani Osman, 29, tinggal sendiri selepas mempunyai pekerjaan tetap memberinya ruang untuk belajar mengurus kehidupan tanpa terlalu bergantung kepada keluarga.
Katanya, tinggal sendiri bukan semata-mata soal mahu bebas daripada ibu bapa, sebaliknya pengalaman itu mengajarnya mengurus kewangan, rumah, masa dan pelbagai urusan harian.
“Apabila tinggal sendiri, kita belajar buat keputusan sendiri. Bil, sewa rumah, barang dapur dan kecemasan semuanya perlu difikirkan.
“Memang ada masa rasa sunyi dan kos hidup juga lebih tinggi, tetapi saya rasa pengalaman itu membantu saya menjadi lebih matang,” katanya.
Berbeza dengan Aina, Farah Ahmad, 32, memilih untuk terus tinggal bersama ibu bapanya walaupun sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan kewangan serta keperluan ibu bapanya yang semakin berusia.
“Kalau saya mampu tinggal sendiri dan mahu berbuat demikian, tiada masalah. Tetapi kalau tinggal bersama ibu ayah lebih sesuai dengan keadaan saya dan mereka juga memerlukan teman serta bantuan, saya tidak nampak mengapa ia perlu dianggap sesuatu yang memalukan.
“Bagi saya, tinggal bersama ibu bapa juga satu bentuk tanggungjawab. Sekurang-kurangnya saya boleh bantu urusan rumah, temankan mereka dan pantau kebajikan mereka,” katanya.
Namun, Farah mengakui tinggal sebumbung juga mempunyai cabaran, terutama dari segi perbezaan pandangan, privasi dan cara mengurus kehidupan.










