KUALA LUMPUR 21 Jun – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memandang serius aktiviti mengimport dan menjual produk ciplak rekaan dan jenama usahawan selebriti tempatan, Noor Neelofa Mohd. Noor dan Datin Vivy Safinas Yusof.
Menurut MyIPO, aktiviti seumpama itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah merugikan usahawan terbabit serta memberi impak negatif terhadap ekonomi dan imej negara di mata pelabur asing.
“Berdasarkan rekod MyIPO, Neelofa pengusaha jenama Naelofar serta Vivy pengusaha jenama duCkscarves dan FashionValet adalah pemilik sah jenama-jenama terbabit dan rekaan produk mereka didaftarkan dengan perbadanan ini.
“MyIPO memuji langkah yang diambil mereka dalam melindungi harta intelek masing-masing dan kami menggesa semua pemilik lain mengambil langkah sama bagi melindungi hak mereka daripada ditiru pihak tidak bertanggungjawab yang seterusnya boleh mengakibatkan kerugian besar terhadap perniagaan,” jelas MyIPO dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa media arus perdana tempatan melaporkan cadangan Neelofa dan Vivy agar kerajaan menubuhkan sebuah badan khas bagi melindungi peniaga dan menangani kes lanun cetak rompak atau ciplak produk.
MyIPO memberitahu, perbadanan itu sentiasa mengalu-alukan sebarang perbincangan bersama Neelofa dan Vivy bagi menangani isu-isu pelanggaran harta intelek.
Jelasnya, sebagai sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa pembangunan harta intelek dalam negara, perbadanan itu turut aktif dalam meningkatkan kesedaran serta mendidik pengguna membudayakan sikap menghormati hak pemilik produk harta intelek yang sah.
“Walaupun hal-ehwal penguatkuasaan adalah di tangan pihak berkuasa seperti Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), tetapi kami turut memainkan peranan dalam mengatasi isu-isu seperti itu.
“Usaha ini dilakukan menerusi program serta kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan dengan pelbagai pihak termasuk golongan usahawan dan peniaga, industri kreatif, pelajar, badan-badan bukan kerajaan serta masyarakat setempat.
Tambah MyIPO, perbadanan itu turut menganjurkan acara tahunan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) dan mengelola pemberian Dana Harta Intelek yang disediakan kerajaan untuk membantu pelajar, belia dan komuniti setempat bagi mendaftarkan harta intelek mereka.
“Inisiatif AHIN diwujudkan bagi menghargai penghasilan produk harta intelek dalam kalangan rakyat Malaysia, manakala Dana Harta Intelek sebanyak RM500,000 setiap tahun adalah untuk membantu kumpulan sasar melindungi harta intelek mereka dari segi kos pendaftaran yang seterusnya meningkatkan kesedaran,” jelasnya.










