KOTA BHARU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hanya mahu bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan menolak untuk merebut jawatan lain yang lebih tinggi termasuk timbalan atau presiden parti itu.
Mustapa berkata, fokus beliau sekarang adalah untuk mempertahankan jawatan MT yang disandangnya itu pada pemilihan parti 30 Jun ini.
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi semangat kepada saya untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti tetapi saya tidak ada kemampuan fizikal, stamina dan kewangan untuk bertanding jawatan Presiden, bagaimana pun akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan MT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan colek anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini, malam tadi.
Mustapa berkata, beliau masih belum berdaftar sebagai calon namun hasrat untuk bertanding jawatan MT sudah dimaklumkan kepada pemimpin UMNO di negeri lain bagi mendapatkan sokongan. – Bernama











