KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memfailkan writ saman baharu di sini kelmarin untuk mengekalkannya sebagai ketua menteri yang disandang pada 10 Mei lalu.
Writ saman yang difailkan menerusi firma guaman Messrs F.T Ahmad & Co menamakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai defendan pertama manakala Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula defendan kedua.
Perintah saman tersebut antara lainnya turut menyatakan pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah baharu dihadapan Tun Juhar Mahiruddin pada 12 Mei lalu tidak mengikut perlembangaan.
Dalam pada itu, turut dimaklumkan writ saman yang difailkan Musa terhadap Tun Juhar dan Mohd. Shafie pada 17 Mei lalu telah dibatalkan.
Sementara itu, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, kes berkenaan akan didengar di hadapan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini pada 9 Julai depan.
Terdahulu, semalam Mohd. Shafie memohon untuk membatalkan tuntutan saman oleh Musa terhadapnya kerana tidak mempunyai sebab yang munasabah mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei lalu.
Permohonan Mohd. Shafie itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini menerusi peguamnya, Tetuan Lind Willie Wong (amp) Chin dan notis permohonan tersebut disampaikan kepada peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad.
Dalam afidavitnya itu, Mohd. Shafie menyatakan pelantikannya dilakukan selepas Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan mendapat majoriti mudah 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan. – K! ONLINE











