MOM terima rayuan 10 atlet ke Sukan Asia 2018 - Utusan Malaysia

MOM terima rayuan 10 atlet ke Sukan Asia 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini menerima rayuan 10 atlet untuk disenaraikan sama ada dalam Kategori A atau B bagi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang bermula 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi berkata, selepas meneliti rayuan daripada 30 persatuan sukan kebangsaan (NSA) pihaknya membuat keputusan untuk menerima rayuan bagi tambahan 10 atlet dan tiga pegawai ke temasya itu.

Keputusan itu bakal menyaksikan kontinjen negara menghantar bilangan atlet  paling ramai dalam sejarah dengan  447 atlet dan 140 pegawai  berbanding penyertaan terbesar kontinjen Malaysia sebelum ini  iaitu 333 atlet pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Antara tambahan yang dibuat ialah skuad bola keranjang 3×3 lelaki (Kategori B) dan tiga atlet daripada skuad gimnastik artistik wanita iaitu Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang ( Kategori A), serta seorang pegawai masing-masing daripada pasukan olahraga dan triathlon.

Sementara itu, Abdul Azim yang juga ketua kontinjen Sukan Asia berkata rayuan skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara dan skuad badminton berpasukan wanita untuk dimasukkan dalam Kategori A daripada B telah ditolak.

“Rayuan skuad hoki wanita, bola baling, kabaddi, ‘paragliding’, pencak silat dan ragbi tujuh sebelah untuk dimasukkan dalam Kategori A turut ditolak. Sepak takraw wanita dan menembak akan kekal dalam Kategori B, manakala ‘artistic swimming’ (sebelum ini dikenali sebagai renang berirama) turut diletakkan dalam Kategori B.

“Jet ski sebelum ini diletakkan dalam Kategori A. Oleh kerana mereka bukan ahli MOM, kami membuat keputusan untuk menolak mereka ke Kategori B. Permohonan sambo untuk disenaraikan dalam Sukan Asia ditolak kerana mereka lewat menghantar permohonan.

“Bagi sukan layar yang ada satu acara baharu iaitu luncur angin, kami belum buat keputusan kerana ada satu kejohanan pada 27 Jun. Selepas melihat pencapaian di kejohanan itu  baru kami akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma OCM di sini, hari ini.

Kerajaan hanya akan menanggung perbelanjaan bagi atlet yang disenaraikan dalam Kategori A manakala perbelanjaan bagi atlet dalam Kategori B harus ditanggung oleh NSA atau atlet itu sendiri tetapi akan dibayar balik jika mereka meraih pingat.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau yakin kontinjen negara mampu mengatasi pencapaian 5 pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa pada edisi sebelum ini di Incheon, Korea Selatan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN