MELAKA – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu memohon kepimpinan tertinggi UMNO pusat membatalkan kelayakan Ketua Bahagiannya Datuk Seri Idris Haron untuk mempertahankan jawatan berkenaan kerana didakwa menggunakan ‘pengaruh wang’ bagi meraih sokongan perwakilan dalam sesi pemilihan UMNO bahagian 30 Jun ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, Idris didakwa menawarkan elaun RM1,000 setiap bulan dan seekor lembu korban setiap tahun untuk satu cawangan yang menyokongnya dalam manifesto bekas Ketua Menteri Melaka itu dalam usaha mempertahankan jawatannya.
Beliau berkata, tawaran berkenaan dikesan tersebar melalui WhatsApp sejak seminggu lepas dan diuar-uarkan beliau dalam kempen yang dilakukan Idris sehingga ia menjadi buah mulut dalam kalangan perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu.
“Perbuatan ini adalah salah laku calon yang bertanding menggunakan sogokan kewangan dan ia salah kerana melanggar Perlembagaan UMNO Perkara 5 iaitu salah laku dibaca bersama Perkara 5.1.1 dan Perkara 5.1.2 yang amat jelas menyatakan bahawa ahli parti dilarang melakukan perkara melibatkan kewangan dalam proses pemilihan.
“Selain itu, ia satu tingkah laku yang tidak baik dilakukan seorang ketua bahagian lebih-lebih lagi apabila beliau mendakwa dirinya telah menjadi ketua bahagian selama 10 tahun dan sepatutnya faham mengenai peraturan dalam pemilihan yang diibaratkan pertandingan keluarga,” katanya pada persidangan akhbar di sini, malam tadi. – Bernama











