KUALA LUMPUR 4 Jun – Demi memastikan kebangkitan semula UMNO berlaku, dua Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani secara rasmi menyerahkan borang penamaan calon bagi pemilihan parti 2018 di Menara Dato Onn di sini.
![]() |
|
MOHAMAD HASAN
|
Penyerahan borang itu secara tidak langsung mengesahkan Mohamad bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden manakala Johari sebagai naib presiden.
Turut sama dalam sesi penyerahan borang itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii yang menyerahkan borang sebagai ahli majlis tertinggi parti.
Ketiga-tiga mereka tiba di lobi Menara Dato Onn di sini kira-kira pukul 11.00 pagi sebelum menyerahkan borang masing-masing ke Ibu pejabat UMNO.
Mengiringi kumpulan berkenaan sebagai tanda sokongan ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Mohamad ketika ditemui pemberita berkata, beliau mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana menerima desakan dan sokongan rakan-rakan.
Katanya, beliau menyahut cabaran itu dan berusaha untuk mengembalikan kebangkitan UMNO.
“Saya sudah fikir masak-masak. Mula-mula, saya ingat hendak berhenti politik. Oleh kerana mahukan UMNO teruskan perjuangan, saya sahut seruan ahli-ahli yang minta saya bertanding,” katanya.
![]() |
|
JOHARI ABDUL GHANI
|
Johari pula berkata, penyerahan borang yang dilakukan bersama-sama Mohamad hari ini bukan bererti mereka dalam solidariti yang sama, sebaliknya sebagai adik beradik.
“Kita UMNO tidak mampu lagi hendak membentuk pasukan-pasukan. Sekarang kita akan bertanding sebagai adik-beradik,” ujarnya.
Mohd. Razlan pula memberitahu, apa yang dilakukannya ini adalah untuk memberi suntikan semangat kepada kepemimpinan tertinggi supaya suara anak muda didengari dan berada di peringkat ini.
Katanya, ramai yang akan menyokong usaha untuk menonjolkan muka-muka baharu dan berkhidmat dalam kepemimpinan tertinggi dengan suara-suara baharu.












