KUALA LUMPUR 21 Jun – Kertas cadangan bagi menggantikan model lama monopoli Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) terhadap bekalan beras akan dibentangkan ke Kabinet selewat-lewatnya Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, tiga jawatankuasa khas di bawah kementeriannya dan satu badan induk telah ditubuhkan untuk merangka model baharu tersebut yang akan digunakan selepas tamat konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara pada 2021.
“Jawatankuasa tersebut berperanan untuk menyediakan model baharu bagi pembekalan beras dalam negara serta import eksport komoditi itu untuk dikemukakan kepada badan induk yang akan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Badan induk ini akan dianggotai Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta saya sendiri.
“Model ini akan dirumuskan pada pertengahan Julai dan di bawa ke Kabinet Ogos. Tujuan utama kita adalah untuk menurunkan harga beras dan dalam masa sama menjaga kepentingan semua pihak tetapi ini semua bergantung kepada model tersebut nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Salahuddin, fokus utama model baharu itu adalah menjaga kepentingan lebih 150,000 pesawah dan rakyat sebagai pengguna dalam industri pengeluaran beras negara.
Katanya, kementerian akan memanggil semua pihak termasuk Bernas supaya model baharu yang dirangka bersifat inklusif, bukan secara piecemeal atau berperingkat.
“Kementerian bersikap terbuka dalam perkara ini dan fokus utama bukan mahu menutup Bernas tetapi merungkai isu monopoli beras jadi kami juga mengalu-alukan syarikat itu untuk suarakan pandangan mereka berkenaan perkara ini.
“Golongan pesawah yang menjadi antara fokus utama kertas cadangan ini juga boleh menyuarakan pendapat mereka,” katanya.
Menjawab permasalahan tentang penerimaan elaun sara hidup nelayan, beliau berkata, kerajaan menjamin bahawa elaun tersebut akan diteruskan seperti biasa walaupun kerajaan sudah bertukar.
“Kajian akan dibuat dari semasa ke semasa untuk meneliti penambahan insentif seperti ini kepada rakyat di masa akan datang apabila kadar hutang negara dapat dikawal,” katanya.










