DALAM kalangan pengasas negara, Tun Kolonel Lee Hau Shik atau Kolonel H.S Lee merupakan tokoh yang menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet pertama Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1957.
Meskipun bukan dalam kalangan pemenang kerusi parti Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1955, Tunku Abdul Rahman telah menyerahkan tugas besar kepada H.S Lee untuk mengambil alih pengurusan kewangan negara daripada British.
Itu bukan kali pertama beliau menggalas tanggungjawab penting. Pada tahun 1956, Lee mengikuti rombongan ke London bagi berunding hal kemerdekaan.
Ramai mungkin tidak menyedari, tanpa gerakan daripada Lee, kerjasama UMNO-MCA mungkin tidak menjadi realiti kerana ramai dalam kalangan pemimpin MCA pada ketika itu termasuk Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock memihak kepada Parti Kemerdekaan Malaya yang dipimpin Datuk Onn Jaafar.
Bagaimanapun, kemenangan sembilan daripada 12 kerusi pada Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952 telah membuka mata terhadap formula kerjasama yang dicetuskan oleh Lee selaku Pengerusi MCA Selangor serta Pengerusi UMNO Kuala Lumpur, Datuk Yahya Abdul Razak sehingga tertubuhnya Parti Perikatan. Ketika dalam Kabinet Persekutuan Tanah Melayu selepas Pilihan Raya Umum 1955, Lee dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dengan portfolio kewangan masih lagi dipegang pegawai British. Hanya selepas kemerdekaan 1957, portfolio Menteri Kewangan itu diserahkan kepada Lee. Beliau bukan sahaja menjadi pemimpin Cina pertama tetapi rakyat Malaysia yang sulung menjadi Menteri Kewangan.
Dalam tempoh singkat di Kementerian Kewangan, Lee menggalas tanggungjawab berat untuk menjayakan Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) selain menubuhkan Bank Negara dan membentuk polisi kewangan yang baharu dan bebas daripada kongkongan British.
Lee mengumumkan persaraan daripada pentadbiran kerajaan dan politik pada tahun 1959 kerana masalah kesihatan. Namun, beliau yang meninggal dunia pada tahun 1988 pada usia 87 tahun telah membuka peluang yang tidak pernah terjangka untuk rakyat Malaysia menjadi bangsa yang merdeka.
Sekiranya Lee hanya sempat menjadi Menteri Kewangan selama kira-kira tiga tahun sahaja, Menteri Kewangan kedua yang juga daripada MCA, Tun Tan Siew Sin telah memegang portfolio itu selama 15 tahun dari tahun 1959 hingga 1974.
Merupakan anak lelaki tunggal kepada pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock, sandaran bapanya adalah untuk anaknya itu lebih menumpukan kepada perniagaan keluarga dalam perladangan dan bukannya bidang politik. Namun ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Hubungan rapat
Pembabitan aktif Siew Sin dalam politik bermula selepas Perang Dunia Kedua berakhir dengan beliau dilantik menganggotai Badan Perundangan Persekutuan. Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein.
Siew Sin yang merupakan Presiden MCA ketiga dari 1961 sehingga 1974 serta merupakan Bendahari Parti Perikatan (1958 hingga 1965) telah pun berada Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman sebagai Menteri Perniagaan dan Perusahaan.
Sepanjang menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1959 sehingga tempoh 15 tahun, pelbagai sumbangan besar dilakukan Siew Sin terhadap polisi kewangan dan ekonomi negara.
Masakan tidak, beliau telah memimpin perwakilan Malaysia bagi mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.
Siew Sin juga merupakan individu penting dalam perancangan pembangunan negara yang mana beliau terlibat dalam Rancangan Malaya Pertama, Rancangan Malaya Kedua (1961-1965), Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) serta Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) yang turut melibatkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Selepas bersara daripada arena politik pada tahun 1974, Siew Sin telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan. Beliau yang meninggal dunia pada tahun 1988 kekal dalam sejarah sebagai Menteri Kewangan paling lama pernah berkhidmat.
Selain dikenali sebagai seorang yang cukup berjimat cermat, Siew Sin juga amat cintakan negara yang dibinanya bersama dan beliau selamanya dikenang sebagai pemimpin yang berwawasan tinggi dalam konteks pembangunan dan agenda perpaduan. Sesungguhnya, memang tidak boleh dinafikan Siew Sin dan Lee, yang kedua-duanya daripada kaum Tionghua, telah memberi banyak sumbangan bermakna kepada Malaysia.
Selepas 44 tahun, Malaysia kembali menerima seorang lagi pemimpin dalam kalangan masyarakat Cina sebagai Menteri Kewangan iaitu Lim Guan Eng. Ketika pengumuman Guan Eng sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu, Setiausaha Agung DAP itu telah menolak tanggapan media asing yang terlalu mengangkat beliau sebagai Menteri Kewangan daripada kaum Cina.
“Saya minta maaf, saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia,” katanya.
Kehadiran anak kelahiran Melaka yang memegang portfolio kanan itu sedikit sebanyak mengimbau sejarah lama namun beliau berdiri di atas platform parti pelbagai kaum tanpa mengetepikan hakikat majoriti keahlian parti itu adalah kaum Cina.
Guan Eng tidak perlu memikul tanggungjawab sebagaimana Lee dan Siew Sin yang mewakili parti berteraskan kaum Cina namun beliau diletak harapan untuk menterjemahkan bentuk masyarakat baharu Malaysia pasca kejatuhan Barisan Nasional yang telah 61 tahun memerintah negara.










