KUALA LUMPUR 17 Jun – Tatkala takbir bergema pada pagi Syawal, perasaan sayu pasti mencengkam hati golongan gelandangan kota yang meraikan hari kemenangan bagi umat Islam tanpa keluarga di sisi.
Rata-rata yang ditemui mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah tidak bermakna bagi mereka.
Ini kerana apa yang lebih pen-ting bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup demi mendapatkan sesuap nasi.
Sempena sambutan Hari Raya tahun ini Utusan Malaysia berkesempatan mendekati golongan ini di sekitar ibu negara bagi berkongsi perasaan dan pengalaman mereka beraya tanpa keluarga di sisi.
Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Mariam Abdullah, 36, berkata, tiada pakaian raya atau keperluan lain disediakan untuk menyambut Aidilfitri .
Menurutnya, Hari Raya tidak memberi makna apa -apa kepada nya dan anak-anak sejak dua tahun lalu.
“Saya lebih memikirkan soal makan minum dan bagaimana untuk membayar bilik yang disewa sebanyak RM30 sehari di Jalan Chow Kit daripada memikirkan mahu menyambut hari raya,” katanya yang menjual tisu dan minyak rambut di sekitar ibu negara sebagai punca pendapatan.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sepanjang Ramadan lalu dia bersama dua anak lelaki berusia dua dan tiga tahun berbuka puasa dan bersahur dengan rakan senasib.
“Saya bersyukur kerana kami masih boleh mengisi perut sepanjang Ramadan lalu hasil sumbangan orang ramai,” katanya.
Bagi Nur Farisya Rozalio, 28, pula berkata, sudah lima tahun dia bersama anak lelakinya beraya di ibu kota tanpa keluarga di sisi.
Menurutnya, dia memilih untuk tidak pulang ke kampung halaman kerana ada masalah keluarga.
“Walaupun kehidupan saya tidak seperti ibu dan wanita lain, saya tetap bersyukur.
“Saya yang memilih untuk hidup sebagai gelandangan dan apa juga cabaran saya perlu menghadapinya, ” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas dari Johor, Abdul Ghafar Amin, 61, berkata, dia tidak per nah menyalahkan takdir dan masih mempunyai perasaan untuk menyambut lebaran seperti orang lain.
Katanya, faktor usia, tiada tempat tinggal, tiada keluarga dan tiada kudrat untuk bekerja menjadi penyebab mengapa dia memilih untuk hidup sebagai gelandangan.
“Saya bersyukur kerana masih ada masyarakat yang bersimpiati dengan nasib orang seperti kami.
“Selain makanan dan pakaian, ada juga yang bermurah hati menghulurkan wang,” katanya yang sering menjadikan sekitar Kampung Baru sebagai lokasi tumpuannya .
Perasaan sama turut dikongsiseorang lagi gelandangan berstatus bujang, Mohd. Nasrul Azhan Mohd. Nasir, 38 tahun.
Ujarnya, setiap kali menjelang Aidilfitri ingatannya cukup kuat terhadap kedua ibu bapanya yang telah lama meninggal dunia.
“Sudah lebih dua tahun saya memilih untuk menyambut hari raya bersama rakan-rakan senasib di ibu kota.
“Kami berkongsi perasaan dan kesedihan kerana masing-masing terpaksa berhari raya tanpa keluarga di sisi,” katanya.
Mohd., Nasrul yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, dia mengutip barangan terpakai setiap hari untuk menampung kehidupan hariannya.










