TIDAK KIRA parti mana pun memerintah rakyat cukup konsisten mahukan setiap pemimpin kerajaan, penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan secara keseluruhannya sentiasa mengamalkan tadbir urus yang profesional.
Amalan tadbir urus profesional dalam sistem pentadbiran kerajaan yang dituntut oleh rakyat adalah tiada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, tiada unsur rasuah dan sentiasa berpegang teguh kepada amalan nilai integriti yang tinggi serta memberi layanan yang adil, saksama dan sama rata kepada semua pihak.
Justeru, memasuki era baharu sistem politik negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat sekali lagi meletakkan harapan tinggi agar kerajaan yang baru dibentuk ini dapat terus memperkasa dan memantapkan amalan tadbir urus jentera pentadbiran kerajaan demi membalas kepercayaan rakyat sekali gus memacu kecemerlangan negara di persada antarabangsa.
Dalam konteks ini, penulis tertarik dengan beberapa perkembangan terbaru yang dicadangkan serta bakal dilaksanakan yang dilihat mampu memperkasakan tadbir urus jentera pentadbiran kerajaan. Antara dasar baharu kerajaan yang signifikan adalah ketetapan Kabinet baru-baru ini yang memutuskan berkuatkuasa serta merta semua menteri dan timbalan menteri dilarang sama sekali mengeluarkan surat sokongan terhadap mana-mana tender atau kertas cadangan. Ia bertujuan memastikan tadbir urus yang baik dan mengelakkan berlakunya kepincangan dalam keputusan kerajaan terutamanya dari aspek implikasi kewangan.
Umum mengetahui surat sokongan sentiasa menjadi duri dalam daging dan penghalang kepada amalan tadbir urus yang profesional dan berintegriti. Hal ini kerana ada saja individu atau kumpulan yang cuba menggunakan kedudukan serta pengaruh dalam parti politik untuk meraih keuntungan dengan membida projek menggunakan surat sokongan dari menteri atau timbalan menteri. Ini menyebabkan pihak berkuasa sentiasa serba salah ketika proses pemilihan dan pelantikan kontraktor.
Justeru, keputusan larangan Kabinet ini wajar dilihat sebagai satu tindakan berani dan agresif untuk mengekang dan menangani budaya menagih sokongan dan salah guna kedudukan demi kepentingan peribadi. Dengan adanya keputusan seperti ini diharap selepas ini pihak berkuasa terutamanya penjawat awam yang terlibat mampu menjalankan tugas dan membuat keputusan secara bebas dan adil serta membuat pelantikan petender mengikut kelayakan dan merit yang betul tanpa perlu terikat dengan apa-apa pengaruh dan sokongan politik. Dengan cara ini kita bukan saja dapat nilai yang setimpal untuk peruntukan yang dibelanjakan tetapi turut dapat menikmati pelbagai penjimatan serta memperoleh kualiti kerja yang profesional.
Mengambil kira senario ini penulis juga berharap larangan penggunaan surat sokongan ini juga dipanjangkan kepada semua urusan kerajaan lain supaya setiap urusan dapat dilaksanakan dengan telus dan profesional. Antaranya kita harap budaya surat sokongan ini dapat dinyahkan dari beberapa urusan seperti dalam proses pertukaran pegawai, proses kenaikan pangkat serta dalam proses pelantikan jawatan tetap.
Selama ini budaya surat sokongan yang lebih dikenali dengan nama penggunaan ‘kabel’ sering menghantui pelbagai urusan dalam perkhidmatan awam dan jentera pentadbiran kerajaan. Ia juga dilihat banyak mendatangkan imej dan persepsi negatif di mata masyarakat di samping sentiasa menjadi penghalang kepada penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah.
Jadi diharap budaya surat sokongan ini dinyahkan terus dari semua urus tadbir kerajaan di pelbagai peringkat secara menyeluruh. Kita tidak mahu lagi amalan nepotisme dan kronisme terus menghantui tadbir urus kerajaan.
Diharapkan juga penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan governans, integriti dan banteras rasuah di negara ini yang diketuai oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dapat melihat secara menyeluruh semua isu dalam tadbir urus kerajaan seterusnya membuat penambahbaikan dan perubahan yang diharapkan.
Penulis juga tertarik dengan beberapa cadangan dan saranan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sebagai inisiatif tambahan bagi memperkasa tadbir urus jentera pentadbiran kerajaan. Antaranya, SPRM mengingatkan semua penjawat awam agar menghentikan budaya ‘membodek’ atau dalam lain perkataan jangan menjadi yes man semata-mata.
Setiap penjawat awam terutamanya ketua jabatan perlu berani katakan tidak dan berani memberi nasihat yang betul kepada ketua masing-masing seperti menteri dan timbalan menteri. Sikap segelintir penjawat awam yang suka membodek, jadi yes man dan berdiam diri sering mengundang pelbagai masalah salah laku dalam tadbir urus jentera pentadbiran kerajaan. Ini juga boleh mendorong kepada elemen salah guna kuasa dan penyelewengan.
Secara umumnya amalan tadbir urus yang baik dan profesional yang diharapkan ini hanya boleh direalisasikan jika didukung oleh prinsip pengasingan kuasa yang jelas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jika semua pihak jelas dan dapat menjalankan tugas masing-masing, tidak mengganggu dan masuk campur dalam kerja dan bidang kuasa orang lain, pastinya kita dapat merasai amalan tadbir urus yang cukup profesional dan berintegriti. Jadi besarlah harapan agar kerajaan baharu ini dapat terus memperkasa tadbir urus jentera pentadbiran kerajaan demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).











