MB Terengganu mahu kemenangan Pas diisi dengan al-Quran, as- Sunnah - Utusan Malaysia

MB Terengganu mahu kemenangan Pas diisi dengan al-Quran, as- Sunnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar mahu kemenangan Pas di Terengganu diisi dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah sehingga benar-benar mempunyai  pentadbiran yang cemerlang, ekonomi berkembang pesat dan diberkati Allah S.W.T.

Beliau berkata, kitab suci al-Quran wajib diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri, kegiatan masyarakat dan individu. 

Bagi mencapai hasrat dan cita-cita untuk mendidik rakyat melalui pendidikan al-Quran, kerajaan negeri juga akan memperkasakan institusi pendidikan sekolah agama dengan mewujudkan Sekolah Menengah Agama di setiap kawasan Parlimen dan Sekolah Rendah Agama di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan negeri juga akan memberi geran tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Pengajian Pondok. Ini komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan pendidikan al-Quran di Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena sambutan Nuzul Al-Quran 1439 Hijrah.

Beliau turut mengajak semua rakyat Terengganu untuk bermuhasabah dalam memikirkan sejauh mana telah mengangkat al-Quran sebagai rujukan dalam sistem kehidupan sama ada dari aspek ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan lain lain.

“Al-Quran itu mesti dibaca, dihayati dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan umat manusia. Bahkan lebih besar, kita (umat Islam) mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan isi kandungannya di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN