Mat Sabu sebak kenang perajurit - Utusan Malaysia

Mat Sabu sebak kenang perajurit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebak dan hampir mengalir air mata apabila terkenangkan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ber­khidmat serta berjauhan dengan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Sewaktu berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM, Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu terhenti seketika apabila terkenangkan pengalaman hidup serta pengorbanan anggota pasukan ke­selamatan yang tidak dapat bersama keluarga pada hari raya kerana perlu bertugas di merata tempat.

“Tentulah lebih hebat tentera kita yang berada di perbatasan menjalankan tugas untuk ke­pentingan dan keselamatan negara.

“Oleh itu, pengorbanan perajurit ini hendaklah disanjung oleh semua pihak,” katanya sebak dalam majlis berkenaan di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam majlis tersebut, kira-kira 60 syarikat korporat serta individu menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM1.64 juta kepada ATM khususnya buat anggota yang akan bertugas pada hari raya.

Antara yang menderma ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak-anak syarikat, Khazanah Nasional, Tenaga Nasional Berhad, Jakel Trading, Petronas Dagangan, Telekom Malaysia, Utusan Karya Sdn. Bhd., Felda selain bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Dalam pada itu, Mohamad mahu lebih banyak syarikat-syarikat gergasi Malaysia memberi sumbangan kepada ATM sebagai menghargai jasa mereka mempertahankan keselamatan negara tanpa mengira waktu.

“Saya mahu bukan hanya syarikat-syarikat yang ada hubungan dengan Kementerian Pertahanan menderma, malah syarikat-syarikat gergasi lain.

“Syarikat-syarikat dapat berniaga dengan baik serta membuat keuntungan kerana negara berada dalam keadaan aman dan tenteram yang turut disumbangkan oleh ATM,” katanya.

Pada setiap masa katanya, kerajaan terus berusaha meningkatkan kebajikan anggota, keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara supaya dihormati dan digeruni untuk menangani segala bentuk ancaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN