KUALA LUMPUR 11 Jun – Langkah memansuhkan Akta Hasutan 1948 dilihat tidak relevan berikutan undang-undang tersebut mempunyai peranan besar dalam menjaga kepentingan rakyat dan institusi raja-raja Melayu.
Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, terdapat banyak pihak yang cuba mencari ruang dan peluang untuk merentap hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu sejak dari dahulu demi kepentingan mereka.
“Sekiranya akta ini dimansuhkan, maka ia memberi peluang kepada anasir-anasir berkenaan yang sudah menunggu lama mahukan keistimewaan seperti mana yang diperoleh orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita dalam program Bicara Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Menghormati Semangat dan Peruntukan Perlembagaan yang berlangsung di Bangunan Canselori, UKM di sini, hari ini.
Yang turut hadir menjadi panel ialah Pensyarah Fakulti Undang-undang UKM, Profesor Datin Dr. Faridah Jalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mohktar dan pengamal undang-undang, Azhar Harun. – UTUSAN ONLINE











